Ramadan, Aidil Fitri Pertamaku Sebagai OKU
>> Monday, July 26, 2010
Catatan nostalgia yang sering ku ulang siar setiap kali tibanya bulan Ramadan. Catatanku lamaku bertarikh 25 Mei 2006. Catatan dan nostalgia lama mengisi ruang kosong di blog ini.***************
Jumaat 8 Nov’ 2002 bersamaan 1 Ramadan 1423 Hijriah. Hari pertama ramadan dan juga kali pertama di dalam hidupku menyambut ramadan di hospital. Tidak pernah terfikir di dalam hidupku yang aku akan menyambut ramadan di dalam suasana sebegini.Setelah lima bulan aku dirawat di Hospital Tawakal, aku dipindahkan ke Pusat Perubatan Glenneagles di Jalan Ampang untuk meneruskan sesi rawatan seterusnya di unit fiseoterapi hospital tersebut.
Pagi itu, aku dibawa dengan ambulan di temani oleh anak dan isteriku. Kami tiga beranak menaiki ambulan di iringi oleh dua orang jururawat. Setibanya di sana aku terus dibawa ke unit A&E dan diperiksa oleh Dr. Tengku yang telah memang sedia menanti kedatanganku. Setelah selesai dipereksa aku dan dihantar ke bilik No. 650. Bilik yang tingkapnya mengadap menara KLCC.
Sepanjang lima bulan aku dirawat di Tawakal dahulu, isteriku turut sama menemaniku siang dan malam. Bilikku hospital sudah seperti bilik tidurnya juga. Selama lima bulan dia tak pulang kerumah se mata² untuk menemaniku.
Keadaan di sini terasa janggal sekali dengan suasana baru dan jururawat-jururawat yang baru. Terasa se akan sukar bagiku untuk menyesuaikan diri di sini. Jika di Tawakal dahulu majoriti jururawatnya di kalangan bangsa melayu tetapi di sini berbagai bangsa ada. Ada yang dari negara Filipina dan India bertugas di sini.
******************
Keesokan harinya bermulalah rawatan fesioterapiku. Jam 10 pagi aku akan dibawa ke bilik rawatan dan tamat jam 1.00 tengahari. Di sebelah petang bersambung kembali. Jam 2.00 aku akan dibawa kembali ke bilik rawatan dan akan tamat pada jam 4.00 petang. Begitulah seterusnya rutin harian rawatanku. Jemu dan bosan aku!
Rawatannya terasa sungguh berat bagiku yang berkeadaan sebegini. Nasib baik isteriku sentiasa menemaniku di setiap sesi rawatan. Kehadiranya memberikan kusemangat. Bila terasa bosan melakukan rawatan, aku akan memandang wajahnya. Dia akan tersenyum sambil memberi isyarat untuk aku terus melakukannya.
Seperti kanak², aku di suruh menyusun permainan lego. Aku di suruh mengambil dan membaling bola. Berbagai-bagai lagilah. Aku kembali bermain seperti kanak-kanak. Latihan bertujuan untuk mendapatkan kembali kekuatan jari dan tangganku.
Adakalanya hatiku memberontak! Marah! Dan bertanya kepada fesioterapis kenapa perlu aku lakukan semua ini? Aku benci di perlakukan sebegini. Ketika melakukan rawatan, terbayang akan aku wajah² rakan² di pejabat. Terbayang akan PC ku, terbayang akan fail² yang bersusun di atas mejaku. Tatkala rakan² tekun berkerja di pejabat aku pula di perlakukan seperti kanak². Memang sakit jiwaku terpaksa mengharungi semua ini.
Untuk memulihkan pemikiranku, aku juga di rujukan kepada Pakar Pskitri kerana ada masanya aku murung, merepek-repek bercakap dan marah-marah sendirian. Paling aku tidak gemar sesi rawatannya. Aku ini dahlah jenis orang yang berat mulut, doktornya pula mengajakku berbual dan bercerita. Aku faham doktor tersebut cuba mengurangkan tekanan perasaanku. Tapi aku benci....
******************
Di sebelah petang isteriku akan keluar membeli juadah untuknya berbuka puasa di gerai berdekatan dengan hospital. Aku tak berselera untuk makan masakan di hospital walaupun masakannya berbagai jenis menu.
Kesian aku melihat isteriku pergi berseorangan. Tidak seperti tahun-tahun lalu, kami sama-sama pergi ke pasar ramadhan membeli juadah untuk berbuka. Berpimpin-pimpin tangan melintasi jalan untuk ke pasar ramadanh. Kuih tepung pelita dan kuih buah melaka menjadi kuih kegemaranku. Gulai pajri nenas dan ikan bakar menjadi pilihanku setiap kali tiba musim bulan puasa.
Jika di rumah pula, isteriku sibuk menghidangkan makanan dan aku pula tolong membancuh minuman. Tapi kini segalanya berubah. Aku cuma dapat memandang saja tanpa dapat membantu. Tiada lagi kuih tepung pelita dan tiada lagi pajri nenas kegemaranku. Dan paling menyedihkan, berbuka tanpa anak-anak di sekeliling.
Di waktu malam pula kami tinggal berdua saja dibilik. Aku pandang isteriku, dan dia pandang aku. Sunyi rasanya suasana tanpa suara anak-anak. Jika dahulu, waktu-waktu begini kami akan ke surau bertarawih bersama dan kemudian bermoreh. Tapi kini semuanya hilang belaka.
Di waktu begini aku teringat keseronokan dan suasana riuh rendah di surau. Sana sini dengan suara kanak-kanak berlari bermain. Aku terkenang merdunya suara imam yang membacakan surah-surah Al-quran ketika bertaraweh. Teringatkan wajah-wajah rakanku di surau. Kini semuanya tidak lagi kedengaran dan kelihatan.
Ada ketika aku tak dapat menahan perasaanku. Aku menangis teringat akan anak-anakku. Terbayangkan wajah-wajah mereka. Kesian mereka, berbuka puasa tanpa ibu dan bapa. Inilah suasana sedih yang kami terpaksa rasai dan lalui hampir setiap malam.
******************
Setelah masuk seminggu berpuasa, sekolah pun mula bercuti. Anakku Syafeeni datang menemani kami di hosptial. Terasa terhibur juga, sekurang-kurangnya kami sekarang sudah bertiga. Adalah banyak perkara yang dapat dibualkan bersama.
Oleh kerana anakku ada menemani, isteriku meminta izin untuk kembali bekerja. Telah hampir lima bulan dia bercuti tanpa gaji kerana menemaniku di sini. Aku memberikan keizinan kepadanya untuk kembali berkerja.
Pagi jam 7.00 , isteriku bersiap-siap dari hospital ke pejabatnya di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Kesian aku melihatnya, jika dahulu setiap pagi aku yang menghantarnya ke pejabat kali ini terpaksa dia berebut-rebut menaiki bas. Betapa besarnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh isteriku. Tak terbalas olehku di dunia ini.
Tugas rutin isteriku seperti mengosok gigiku dan memberiku minum dan makan kini diambil alih oleh anakku. Aku lebih selesa tugas ini dilakukan oleh anakku daripada jururawat. Seperti biasa anakku akan menemaniku menjalani rawatan fesioterapi pagi dan petang.
Setelah beberapa hari menjalani rawatan tanpa isteri bersama, aku mulai rasa kurang bersemangat untuk menjalani rawatan tanpanya. Tapi apa nak buat, kehidupan perlu diteruskan. Yang sakit tetap sakit dan yang sihat perlu teruskan kehidupan untuk mencari rezeki.
Hampir dua minggu isteriku berkerja. Setiap kali pulang berkerja dia pasti membawa pulang juadah untuk kami berbuka puasa. Kerap kali juga isteriku sampai lewat ke hospital untuk berbuka kerana ketiadaan bas.
Setiap petang, anakku akan berdiri di tepi tingkap memerhatikan kepulangan ibunya. Kesian aku melihatnya, selagi ibunya tidak sampai, dia akan berdiri dan menunggu di tingkap. Dia akan tersenyum apabila nampak wajah ibunya.
******************
Oleh kerana aku tak bersemangat untuk menjalankan rawatan, akhirnya aku meminta isteriku supaya tidak lagi bekerja dan memohon cuti tanpa gaji selama mana aku dirawat. Isteriku menurut kemahuanku asalkan aku gembira. Aku tidak bersemangat langsung untuk menjalani rawatan tanpanya di sisiku. Bagiku dia sumber kekuatanku.
Bulan ramdahan masuk minggu terakhir. Persiapan raya untuk anak-anakku diserahkan sepenuhnya kepada nenek dan makcik-makciknya. Suasana membeli belah dengan anak-anak dan menyediakan keperluan raya tidak dapat kurasakan kali ini. Aku terasa amat kehilangan sesuatu.
Di hospital, rakan-rakan sepejabatku menghantar hamper dan kuih-kuih raya. Begitu juga dengan doktor yang merawatku, tak ketinggalan memberiku kuih raya. Kuih raya kegemaranku ‘biskut mazola’ juga ada diberikan . Setiap malam sambil berbual-bual dengan isteri dan anak, aku mengadap makan kuih raya yang diberikan itu . Tak sempat raya tiba kuihnya dah habis kumakan bersama anak dan isteri.
Di dalam situasi sebegini, apa yang amat aku sedih sekali, kemana perginya adik, abang dan kakakku. Tidak simpatikah mereka pada diriku ini. Sepanjang tempoh aku dirawat di sini tiada seorang pun dari mereka yang menelefon bertanya khabar tentang keadaanku. Apatah lagi untuk datang menziarahiku. Sampai hati mereka buatku begini!
******************
Pada petang raya, aku diberi cuti selama tiga hari dan dibenarkan pulang untuk beraya di rumah. Gembira hatiku tak terkira, maklumlah hampir enam bulan tak berpeluang pulang ke rumah.
Aku dibawa pulang ke rumah ibu mertuaku. Hilang rasa rindu pada anak-anak. Di rumah suasana raya riuh rendah dengan persiapan menyambut raya. Walaupun berada di rumah, aku tak merasa kegembiraan suasana raya. Aku hanya terbaring memejamkan mata sepanjang masa.
Di malam raya jemaah surau datang bertakbir ke rumah. Kalau dahulu aku turut sama bertakbir dari rumah kerumah tetapi kali ini tidak lagi. Bergenang air mataku bila mendengarkan takbir raya. Pertama kali menyambut raya dalam suasana yang amat berbeza.
Sudah menjadi kebiasaanku, setiap malam raya selepas takbir raya, aku sekeluarga akan memandu ke pusat bandar dan ke Jalan Chow Kit melihat-lihat suasana raya di sana dan suasana lelongan kuih. Tapi tahun ini tidak lagi, aku terbaring saja sepanjang malam raya.
Pagi raya tahun ini terasa hambar sekali. Tidak ada pakaian baju melayu baru di pagi raya. Aku hanya mampu memakai seluar trek dan berkemeja T saja. Tiada lagi mandi sunat aidil fitri. Jauh sekali bersolat sunat aidil fitri.
Kebiasaan pagi raya aku sekeluarga akan ke tanah perkuburan kemudian menunaikan solat Aidil Fitri tapi tahun ini berbeza sekali. Sepanjang hari aku hanya berbaring saja. Tiada lagi ziarah menziarahi ke rumah saudara mara.
Sebak hatiku bila mendengar takbir raya. Di hari baik dan di bulan yang baik ini tidak seorang pun saudaraku datang menziarahiku mahu pun menelefonku. Di pagi raya aku menangis lagi...
Pun begitu aku bernasib baik kerana mempunyai mertua dan ipar-duai yang mengambil berat tentangku. Selepas tiga hari bercuti raya, aku kembali ke hospital meneruskan rawatan. Di hujung bulan Disember aku di benarkan pulang setelah selama enam bulan dirawat di hospital.
Terima kasih kepada isteri dan anak-anakku juga keluarga mertuaku diatas pertolongan dan pengorbanan yang kalian berikan kepadaku. Tidak lupa juga kepada Doktor Tengku dan jururawat² dan fesioterapis yang merawatku.






