Nostalgiaku
Sebuah Catatan Kehidupan Dari Seorang Yang Dilahirkan Normal Tapi Ditakdirkan Hilang Upaya Di penghujung Hidupnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Memori Cokodok Pisang

Wednesday, July 30, 2008

Tajuk entri macam tajuk lagu penyanyi dangdut Iwan & Amelina "Memori Daun Pisang". Ceritanya ada kaitan dengan cerita pisang juga...hehehe

Jemput² pisang, cucur pisang atau cokodok pisang itulah namanya. Rupanya gelap, bentuknya bulat dan rasanya sedap.


Petang ini isteriku mengoreng jemput² pisang untuk menu berbuka puasa. Memang jemput² salah satu kuih kegemaranku. Dahulu semasa masih bujang kuih ini aku panggil dengan nama jemput². Setelah berkahwin bertukar pula nama kepada cokodok. Pada mulanya agak janggal juga nak menyebutnya tetapi sekarang sudah menjadi kebiasaan.

Dahulu bila terasa malas nak makan malam, aku rajin juga menggoreng jemput² ni. Aku suka mencuba! Beli tepung cucur segera Adabi . Ada berbagai perisa. Ada perisa cucur pisang, cucur bawang, cucur jagung dan cucur manis. Harganya sekitar RM 1.50 - RM 1.80 sepeket bergantung kepada perisa. Sekarang ni tak pasti samada masih ada lagi dijual. Ini cerita 7 -8 tahun dahulu.

Mengoreng jemput² ni pun ada cara dan tekniknya. Jika tak pandai 'menjemput' tepung, itu yang membuat jemput² menjadi penyek, lonjong dan empat segi. Itu baru betul namanya 'cokodok penyek'.

Jemput² yang cantik berbentuk bulat² seperti bola pingpong. Aku sendiri tak tahu bagaimana nak buat supaya jemput² yang digoreng menjadi bulat. Jemput² yang aku goreng ada yang bulat dan ada separuh bulat. Biasalah orang lelaki yang buat...hehehe.

Jemput² yang digoreng oleh isteriku ada berbagai bentuk. Ada yang bulat, ada bentuk bola pingpong kemek dan ada bentuk piring terbang. Tapi sedap! Jangan marah isteriku, gurau² saja.

Ada orang 'menjemput' tepung masuk ke kuali menggunakan dua sudu. Pegang di tangan kiri satu dan kanan satu. Aku lebih suka gunakan jari saja untuk menjemput tepung. Setiap kali sebelum menjemput, jari dicelupkan ke dalam air supaya tepung tak melekat di jari dan jemput² menjadi bentuk bulat.

Masa berkerja dan sihat dahulu aku gemar singgah membeli jemput² pisang di gerai berdekatan di flat Kg. Baru. Di situ memang ramai orang menjual jemput² Harganya RM 1 untuk lima biji. Biasanya sepuluh biji habis kumakan sambil memandu...hihihi

Teringat semasa zaman budak² dahulu, bila arwah mak mengoreng jemput² kami ada beradik duduk bersila tunggu di tepi dapur. Apabila jemput² diangkat keluar dari kuali kami ambil jemput² tu di penyek²kan dengan kertas surat khabar supaya cepat sejuk. Tak menyempat-nyempat nak makan..hehehe

Satu peristiwa yang aku tak dapat lupakan ketika berada di 'Darjah Satu', di suatu hari bila tiba waktu rehat aku bergegas ke kantin. Sampai di kantin aku membuka sapu tangan untuk mengambil duit untuk membeli jemput². Waktu itu jemput² bentuknya sebesar bola tenis dan harganya cuma lima sen sebiji.

Memang telah menjadi kebiasaan ayahku mengikatkan duit belanjaku sebanyak 'sepuluh sen' di hujung sapu tangan supaya duit tidak cicir. Sebaik saja aku membuka sapu tangan, aku dapati duitnya bukan duit sepuluh sen tapi dua 'satu sen'.

Aku terus berlari pergi ke tepi pagar sekolah, duduk di bawah pokok Rhu sambil menangis kesedihan. Hari itu aku tak berbelanja dan tak merasa makan jemput².

Cerita jemput², cucur dan cokodok pun boleh menjadi nostalgia buatku....

Read more...

Air Tangan Ayah

Tuesday, July 29, 2008

Siaran ulangan, disiarkan dahulu pada 21 Sep' 2006. Anakku Ayong mewarisi hasil kerja air tanganku ini. Nanti di entri akan datang kuceritakan.

************

Dalam keadaan posisiku yang mengiring selama 10 hingga 14 jam sehari di atas ketidakupayaanku untuk duduk, bermacam-macam nostalgia dan kenangan lama bermain di fikiranku. Di waktu ini aku rasakan seolah-olah nostalgia itu baru semalam berlaku. Dalam keadaan lenguh² badan dan bahu, sempat juga aku tersenyum menggenangkannya.

Apabila berpeluang untuk duduk jariku terus memulakan hentakan ke keyboard untuk nostalgiaku dapat di zahirkan dan di kongsi bersama. Walaupun setiap hentakan jariku merupakan satu kerahan tenaga buat diriku dan satu tekanan kepada lukaku tetapi aku gembira menghasilkan ceritaku. Inilah yang dikatakan ‘Senyum dalam tangsian’ atau ‘Nampak tenang pada zahirnya tapi batin terseksa,’. Itu Mawi yang cakap bukan aku yang cakap....ekekeke.

Berbalik kepada kenanganku, teringat aku kepada rakan pejabatku yang gemar memasak dan mencuba masakan baru. Aku sering mendengar cerita mereka memasak berbagai jenis masakan. Di antaranya ikan sweet sour, anika jenis mee dan cara membuat air soya. Di antara cerita yang menarik minatku ialah cara membuat air soya. Tambah pula anak-anak dan isteriku gemar meminumnya.

Memang air soya ini mempunyai khasiat dan baik untuk ibu yang sedang mengandung. Aku praktikan memberi isteriku meminumnya ketika mengandungkan anak bongsuku. Bila keluar dari perut ibunya, putih melepak kulitnya berbeza dengan kakak dan abangnya.

Teruja akan cerita rakanku, lantas aku ke kedai berhampiran untuk mendapatkan kacang soya. Satu demi satu kekacang kupunggah di kedai kerana selama ini aku tidak pernah melihat rupa bentuknya. Setelah mendapat kepastian dari pekedai yang kupegang itu adalah kacang soya aku terus membayar dan membawa pulang.

Langkah pertama ialah merendam kacang soya semalaman supaya kembang. Aku mengambil tiga hingga empat genggam kacang soya untuk direndam. Esok bila bangun dari tidur alangkah terperanjatnya, kacang yang kurendam semalam kembang penuh se besen. Alangkah baiknya jika wang yang dilaburkan berganda sekelip mata seperti kacang soya itu…kaya! kaya! kaya! hehehe.

Aku cuba menghasilkan air soya dari hasil kerja tangganku tanpa bantuan isteriku mahupun anakku. Langkah seterusnya kacang dikisar bersama sedikit air sehingga halus. Kemudian periuk di letakan diatas dapur dan dimasukkan kacang yang telah dikisar bersama dua hingga tiga jag air untuk di didihkan.

Proses mendidihkan air soya ini memakan masa lebih dari sejam dan perlukan kesabaran. Periuk di dapor tidak boleh ditinggalkan kerana air soya akan berbuih dan melimpah keluar jika tidak dikacau selalu. Sabar sajalah aku…....hehehe.

Bila air soya hampir masak dan mendidih, masukkan gula secukup rasa bersama simpulan daun pandan untuk menaikkan aromanya. Setelah mendidih biarkan sejuk seketika sebelum ditapis masuk kedalam botol mineral. Tapis yang digunakan sebaiknya dari tapis kain kasa seperti tapis yang digunakan di kedai mamak. Untuk lebih sedap elok disimpan didalam peti sejuk. Kebiasaannya dapatlah tiga hingga empat botol hasil kerja tangganku ini.

Walaupun proses membuatnya amatlah leceh bagi seorang yang bernama lelaki tetapi hatiku amat gembira apabila melihat anak isteriku tersenyum menegguk air soya hasil buatan tangganku. Kebiasaannya tak sampai dua hari air soya yang kubuat habis.

Banyak kali juga aku menghasilkan air soya ini di atas permintaan anak-anakku. Walaupun isteriku tidak pernah memuji hasil kerja tangganku ini tetapi aku percaya dia menghargainya. Entah² dia yang paling banyak minum....hihihi

Kini hanya tinggal kenangan. Tangganku kini tidak lagi mampu menghasilkan minuman soya kegemaran anak dan isteriku. Malah untuk menyuapkan makanan ke mulutku sendiri pun perlukan bantuan anak isteri.

Inilah secebis nostalgia dariku … Air tangan ayah.

Read more...

Cerita Api

Monday, July 28, 2008

Hari ini se awal jam 12.00 tengah hari aku telah dibangunkan dan diletakan di posisi duduk. Bonus buatku di hari minggu. Jarang berpeluang begini!

Tengah hari ini isteriku bersiap-siap untuk ke majlis perkahwinan anak kawanku. Seperti biasa aku menolak pelawaan untuk turut sama ke majlis tersebut. Bukan yang pertama kali, tapi entah yang keberapa kali aku menolak untuk ke majlis perkahwinan. Malu dan Segan. Itu alasanku.

"Abang nak kirim apa kat kawan abang?" tanya isteriku sebelum berlalu pergi.

"Kirim salam! Suruh dia bungkus nasi minyak untuk abang," jawabku tersenyum mengusik.

Anakku Amir menemaniku. Aku tidak berani tinggal bersendirian. Jika terjadi kecemasan seperti kebakaran, siapa nak selamatkkan aku?. Alamatnya mati hanggus aku. Azab tu! Aku nak mati tersenyum. Mati dalam iman seperti dialog filem Ali Baba tuu.

Ada juga sesekali isteriku 'terpaksa' tinggalkan aku sendirian untuk ke kedai berdekatan . Terasa takut juga aku walaupun cuma 20-30 minit saja. Macam² boleh terjadi. Perasaan takut ini memang biasa dirasai oleh orang² sepertiku. Sudah banyak kes orang mati terperangkap berlaku. Baca kisah Allahyarham Zulrushdi. Arwah pun lumpuh sepertiku. Berasa takut bila ditinggalkan bersendirian.

Pun begitu, jika terpaksa ditinggalkan sendirian aku ada 'Contingency Plan' sendiri. Jika terjadi kebakaran, menjerit memangil jiran berdekatan. Atau menggunakan 'YM' (Yahoo Mesengger) meminta pertolongan dari teman² untuk tolong menghubungi bomba/saudara terdekat. Cuma dua kaedah ini saja yang terfikir olehku.

Untuk menggunakan telefon agak sukar juga bagiku kerana perlu memegang telefon dan menekan nombor. Jadi, andainya ada panggilan YM kecemasan dariku, bantulah aku ya! Manalah tahu! bantuan kalian dapat menyelamatkan aku. Apalah aku ni! Bagai di minta² pula. Bukan apa, beringat sebelum kena..hehehe

Ikuti langkah² ini jika berlaku kebakaran di sini.

Read more...

Hatiku Biskut Lemak

Saturday, July 26, 2008

Ingat apa! cucu saja nak posing! Atuknya pun nak tumpang sekaki juga...hahaha!

Setelah usia Ikhwan masuk bulan ke lima barulah Wannya (isteriku) berani meletakkannya di riba dan di sisi atuknya.

Sebelum ini, setakat hulur² pipi di tepi katil saja. Bukan apa...khuatir kejangku (spasm) tiba² datang, mahu saja cucuku tercampak ke bawah katil.

Tengok mata Ikhwan tu! Dia sedang menjeling laptop di ribaku. Mungkin teringin nak jadi blogger seperti atuknya juga.

Jika atuknya guna nama samaran Kassim Selamat. Cucunya bila dewasa nanti guna nama apa ya? Kassim Baba lah....seperti dalam filem 'Ali Baba' tu..kah! kah! kah!

Boleh dikatakan setiap hari ibunya akan menghantar Ikhwan ke rumahku. Suasana rumah bertambah ceria dengan kehadirannya. Ada juga atuknya teman untuk bergurau senda. Senyum² Sengeh².

Kadangkala atuknya ni merasa 'jeles' juga (perkataan Inggeris di melayukan) melihat perkembangan cucunya. Dari posisi melentang bertukar ke posisi mengereng dan memusing pula ke posisi meniarap tanpa dibantu. Si atuk yang tua ni tak mampu untuk berbuat sedemikian. Segalanya perlu dibantu.

Semangat atuknya boleh dikatakan kuat juga, cuma hati dan perasaannya agak rapuh. Serapuh 'biskut lemak' yang bila dicicah dengan kopi O panas akan menjadi lembik dan hancur. Hati cepat menjadi sayu lebih² lagi apabila melihat cucunya terbaring keseorangan menanti ibunya balik dari mencari rezeki.

Ibunya Ikhwan yang kupanggil Ayong mencari rezeki merata-rata tempat. Lewat malam baru tiba di rumah. Dia tak berminat berkerja makan gaji. Lebih berminat berniaga. Mewarisi bakat atuknya berjaja kuih semasa kecil² dahulu. Ceritaku terdahulu 'Aku Budak Penjual Kuih' di sini.

Ibu Ikhwan bukan berjaja kuih sepertiku dahulu tetapi berniaga di pasar malam. Berniaga apa ya? Nantilah jika mampu, akan kukongsi cerita tentang ibu Ikhwan. Hati dah mula sayu....

Apalah Atuk Ks ni! Betullah hati macam 'biskut lemak' (itu kata cucuku jika dia boleh bercakap)

Read more...

Cucuku Ikhwan

Cucuku Ikhwan lima bulan usianya esok. Tengok biji matanya...bulat! eheh....ada ke biji mata empat segi?

Nanti atuknya Ikhwan sambung cerita tentangnya. Atuknya sedang mengereng ni, sukar nak menaip...hehehe.

Mana pulak atuk angkat Ikhwan ni...UncleJ? Bila nak belanja Ikhwan roti tisu Hj. Tapah?

Di atas permintaan Sky atuk Ikhwan download kan gambar buah hatinya. Harap auntie/kak Sky terhibur menatap gambar/video Ikhwan.

Tengok video ni auntie Sky! atuknya Ikhwan buat semalam. Siap letak lagu hindustan lagi 'Dil Kya Kare'. Dengarkan suara Ikhwan menyanyi lagu hindi!. Atuknya Ikhwan memang suka lagu hindustan. Rupa jer tak macam aktor hindustan...hihihi


Read more...

Mahligai Cinta.....Berkorban Apa Saja

Friday, July 25, 2008




Siaran ulangan. Disiarkan dahulu pada 23 Nov' 06. Kisah di awal perkahwinanku.

Aku ingin menyambung kembali ceritaku dahulu. Kisah seterusnya selepas sahaja aku di ijab kabulkan dengan isteriku Chombi. Ini adalah rentetan dari kisahku Renjis-renjis Di pilis’ dahulu. Memang inilah cara penulisanku, berhenti sekejap, menulis cerita lain dan kemudian menyambung kembali menulis cerita dahulu. Menulis dan bercerita pun ikut mood juga.

Memang seronok menjadi raja sehari ini, kemana pergi menjadi perhatian orang mahu pun saudara mara sendiri. Memang telah menjadi kebiasaan selepas berkahwin pasangan pengantin di mestikan menggunjungi rumah saudara mara sebagai salam perkenalan dan membalas budi makcik dan pakcik kerana bertungkus lumus menjayakan majlis perkahwinan tersebut.

Di sini mulalah peranan Pak Long, Mak Long, Pak Ngah dan Mak Ngah mentafsir pasangan kita, samada pasangan kita itu sesuai dengan citarasa mereka, berbudi bahasa, kasar atau lembut dan sebagainya. Bagi yang lelaki tidak mempunyai masalah sangat tetapi yang perempuan payahlah sedikit. Di waktu ini segala-galanya di uji, cara memasak, cara menghidang makanan dan segala-galanya di perhatikan. Dari hujung rambut sampai hujung kaki di telitinya. Menggalahkan mengambil ujian memandu di JPJ. Terlalu ketat ujiannya.

Aku dan isteriku juga tidak terlepas dari ujian tersebut. Alhamdullilah isteriku melepasi tahap piawaian ‘Sirim’ dan mendapat sijil ISO9002. Begitu juga diriku ….hehehe. Di awal tempoh perkahwinan, aku tinggal di rumah ibuku di Cheras dan pada hujung minggu kami bersantai pula di rumah ibu mertuaku di Semenyih.

Setelah sebulan tinggal di bawah ketiak ibuku, aku mengambil keputusan untuk merasa hidup berdikari berdua. Senang sedikit boleh main tarik-tarik tali, lari-lari dan kejar mengejar didalam rumah macam filem hindustan itu. Baru ada ‘privacy’ sedikit.

Setelah mencari lokasi rumah yang bersesuaian dengan kadar sewa yang mampu di bayar akhirnya aku memilih untuk menyewa di Kg. Laksamana, Selayang dengan kadar sewanya RM285 sebulan. Mahal juga sewanya bagi aku yang berpendapatan rendah ketika itu. Tetapi kerana ingin berdikari dan inginkan privacy aku gagahi juga.

Bermulalah episod hidup kami berdua walaupun sebelum ini aku dan isteri tidak mempunyai pengalaman hidup sendiri. Kami menyewa rumah teres dua bilik dan agak besar bagi kami yang belum mempunyai perabut. Hanya katil, almari khawin dan sebuah almari perhiasan menjadi perabut kami. Perabut lain seperti peti sejuk, televisyen, mesin basuh, kerusi meja dan barang-barang yang lain belum mampu kami adakan. Masak pun masih gunakan dapur minyak cap ‘butterfly’…hihihi.

Agak sunyi juga suasana keadaan dalam rumah kami tanpa adanya televisyen. Kami hanya bertemankan sebuah radio transistor kecil yang kerap kali hilang siarannya dan suaranya. Radio itu aku letakkan menyandar di satu sudut agar siarannya jelas. Tiada nyanyian tiada pilihan siaran hanya ceramah-ceramah ugama yang berkumandang. Setiap pukul 9.00 malam pasti rancangan ‘Mekah Al Mukaramah’ ke udara. Itulah sajian halua telinga kami setiap malam hinggakan aku hafal promonya.

Dari Selayang kami berulang alik ke pejabat kami yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan menunggang motor kapcai. Hanya itu kenderaan yang aku mampu beli. Ada masanya kami ditimpa hujan dalam perjalanan. Basah kuyup pakaian kami dan terpaksa berpatah balik kerumah tanpa meneruskan perjalanan ke pejabat.

Bila ke pasar, kami akan membeli ikan atau sayur cukup-cukup saja untuk sekali masak memandangkan kami tidak mempunyai peti sejuk untuk menyimpannya. Masih aku ingat lagi di suatu petang selepas waktu pejabat aku ke pasar Chow Kit membeli sedikit sayuran dan dua tiga ekor sotong besar.

Malam itu aku meminta izin pada isteriku untuk mengambil alih tugas memasak. Aku memang suka bab-bab menyiang ikan dan sotong ini. Sambil aku membersihkan sotong isteriku pula leka menumbuk cili menggunakan lesung batu kerana kami tidak ada mesin pengisar cili. Lempang lempung bunyi lesung bila di hentak di atas simen.

Setelah siap bahan-bahanya aku mula menumis. Kononnya hendak buat ‘sambal sotong’. Inilah pertama kali aku memasak sambal. Setelah siap aku pun menghidangnya di atas meja. Meja kami bukanlah seperti meja sekarang yang beralaskan batu marmar yang putih lagi menyejukkan. Kami makan bersila di atas tikar dan meja kami ialah tin susu ‘Dutch Baby’ yang kami letakkan pinggan di atasnya. Kerusi kami adalah dinding untuk kami menyandar dan lantai simen untuk kami bersila.…..sedihnya.

Isteriku tersenyum merasa masakanku. Entahlah senyuman sedap atau sebaliknya. Bilaku makan sambal sotongku, emmm.... rasa cilinya tidak cukup masak patutlah isteriku tersenyum. Fahamlah aku maksud senyumannya.

Setelah dua bulan tinggal menyewa aku pun membeli sebuah tv 14 inci dan sebuah peti sejuk. Itu pun meminjam wang dari koperasi….hehehe malunya. Tetapi tidak mengapa asalkan belanja khawin tidak meminjam dari koperasi. Sejak hari itu barulah riuh didalam rumahku. Ialah sudah dua bulan tidak menonton televisyen…sunyi dan rindu rasanya.

Dalam pada itu aku mendapat berita gembira. Isteriku di sahkan mengandung. Alhamdullilah gembira hatiku tidak terkata. Sejak hari itu aku menyuruh isteriku agar menjaga kesihatan dan kandungannya. Aku tidak membenarkannya membuat kerja-kerja berat. Tugas-tugas membasuh pakaian dan menggosok pakaian biarlah aku yang melakukannya.

Aku mahu isteriku sehat dan bayi yang bakal lahir turut sehat. Bayangkanlah bagaimana isteriku yang mengandung dengan perut yang membesar bersila diatas simen, makan berlapikkan tin susu sebagai ganti meja. Sedihnya bila ku kenangkan kembali.

Aku berharap dengan cerita ini anak-anakku tahu bertapa susahnya ayah dan ibu mereka dahulu. Jadi bersyukurlah dengan suasana dan apa yang ada sekarang.

Aku rasa sampai di sini dulu, jam sudah 5.15 pagi..jariku sudah tidak mampu untuk bercerita. Di lain kesempatan akan ku sambung lagi ceritaku ini.

Buat isteriku.....pengorbananmu amat besar sekali buatku......'Berkorban apa saja, nyawa ataupun harta'

Read more...

Alleycats...Aku dan Kenangan

Thursday, July 24, 2008

Berhenti seketika bercerita tentang politik. Jemu! buka TV cerita politik, selak surat khabar berita politik, baca blog sudah pasti cerita² politik. Cerita politik tiada akhirnya.

Jari aku memang tak boleh nak duduk diam. Ada saja yang hendak di ceritakan dan dikongsikan. Hari ini aku ingin bercerita tentang lagu² dari kumpulan muzik yang paling aku minati 'Alleycats'. Zaman remajaku, waktu mudaku di warnai dengan lagu² cinta dan sentimental dari kumpulan ini.

Lagu 'Senyumlah Kuala Lumpur', lagu kenangan cinta dengan isteriku. Semasa itu aku baru mula mengenalinya. Semasa aku mengikuti rombongan ke Hattyai, bas yang membawa rombonganku memutarkan lagu ini berulang kali. Sepanjang jalan aku teringatkan dirinya sambil hati dan perasaanku turut melagukannya. Maklumlah terpisah sekejap...rindu!

Lagu 'Hingga Akhir Nanti', mengimbau kenangan aku dengan kawan baikku Ghani. Setiap hari Sabtu, selepas waktu pejabat aku bersamanya akan lepak di tempat menanti bas di perhentian bas Puduraya. Berjam-jam aku duduk lepak di depan sebuah kedai menjual kaset sambil mendengar lagu percuma. Di kedai inilah aku mula mengenali kumpulan Alleycats dan lagu²nya.

Lagu 'Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi', mengimbau perkenalan aku dengan seorang gadis pada bulan Februari. Sesuai dengan lirik lagu "Untuk gadis pilihan...Oooo di bulan Februari".

Perhubungan aku dan dia cuma bertahan beberapa bulan saja di sebabkan tiada persamaan hati di antara kami...chewah! Selepas tiada lagi hubungan dengannya, aku mula mengenali isteriku. Memang rezeki isteriku....hahaha! Aku dilahirkan untuk hidup bersamanya.. jiwang pula!...hehehe

Lagu 'Layang² Terputus Talinya', pernah kucatatkan di catatan di blog ini. Kenangannya di sini.

"Kamarku Yang Telah Sepi", sebuah lagu yang meruntun hatiku. Lirik yang kini sinonim dengan kehidupanku. Nostalgianya ku abadikan di sini.

Aku amat meminati lagu² sentimental dari kumpulan Alleycats. Terlalu banyak kenangan yang tersisip dari lagu²nya. Tak tercerita banyaknya. Aku memang jiwang karat....hihihi

Sambil berhibur kita belajar Bertarannum. Asyik mendengarnya! Banyak episod²nya di sini.

Read more...

Hari Ini Bentuk Kerajaan. Esok Tukar Mercedez E200

Tuesday, July 22, 2008

Ini yang Dato' Seri Anwar janjikan jika Pakatan Rakyat memerintah....


Dan yang ini Datuk Ahmad Said lakukan bila berjaya memerintah...



Read more...

Mercedez vs Perdana V6

Monday, July 21, 2008


Kerajaan Barisan Nasional Terengganu membeli kereta Mercedez sebanyak 14 buah yang bernilai RM 3.4 juta untuk kegunaan exco dan pegawai kanannnya.

Menurut Menteri Besarnya, pembelian kereta mewah tersebut mengantikan kereta Nasional Perdana V6 demi untuk menjimatkan kos perbelanjaan tahunan. Pembelian kereta tersebut tidak menggunakan wang royalti minyak tetapi mengunakan peruntukkan yang sedia ada.

MB berkata, keputusan pembelian kenderaan tersebut dibuat berikutan kos penyelenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang digunakan oleh Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri sebelum ini terlalu tinggi mencecah sehingga RM 50 ribu.

***********
Ks - Rakyat di saran agar berjimat cermat dan mengubah gaya hidup dengan kos kenaikkan minyak. Lain pula dengan pemimpin BN, mereka mengubah gaya hidup dan selera dengan bertukar dari kereta Nasional ke kereta Mewah. Inilah yang dikatakan 'Kepimpinan Melalui Tauladan' ala Barisan Nasional.

Perbelanjaan untuk membeli kereta mewah tersebut bukan dari wang royalti minyak! Itu kata menteri besarnya. Habis jika bukan wang royalti minyak, wang siapa? Wang Umno? Wang menteri besar? Yang pasti wang rakyat yang digunakan untuk bermewah-mewahan. Rakyat berhak untuk bersuara!

Dari segi logiknya, bila besar cc kereta maka besar penggunaan minyaknya dan bertambahlah perbelanjaan penyelengaraannya. Tapi menurut Datuk Ahmad Said, pembelian kereta mewah ini akan menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan negeri. Lawak sungguh! Nabil, Raja Lawak Astro kata...'Lu Fikirlah Sendiri!'

Sekiranya perkara sedemikian dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat sudah pasti suara² sumbang akan kedengaran dari mulut² pemimipin BN. Dalam isu ini, kemana menghilangnya suara² mereka? Menikus....'Angguk² Geleng²'

Ks...suka dengar slogan era zaman reformasi "Yang Kaya Bertambah Kaya! Yang Miskin Papa Kedana!"

G
ambar Mercedez cilok dari No2umno di sini. hehehe.

Read more...

Cerita Aku & Ketupat Palas

Semalam selepas mandi aku diangkat ke katil oleh isteriku dan anakku Indah. Indah sekarang sudah boleh di harap untuk mengangkatku.


Kesian pun ada, nak ketawa pun ada bila melihat Indah mengangaktku. Dengan dia² sekali rebah ke atas katilku. Tak sangka pula, dulu aku yang mengendong dan mendukungnya. Kini giliran dia pula mengangkatku.

Setelah lukaku dibersihkan aku meminta Indah memberiku ubat tahan sakit. Tiba-tiba badan rasa seram sejuk dan bisa². Aku menelan dua biji paracetemol dan minum sedikit air ‘Intra’.

“Itulah nak mandi sangat!. Badan tu belum sihat betul,” bebel isteriku.

Aku cuma berdiam diri. Aku minta indah menutup tubuhku dengan beberapa helai kain pelekat dan mematiklan kipas di sisiku. Bab demam ni aku memang 'kememeh' sikit. Tak tahan sakit! Perasaan pun cepat tersentuh. Air mata terlalu murah.

Sambil cuba meredakan sakit aku bertanya kepada isteriku, "Ain! cuti² begini tiada siapa pun datang jenguk abang?"

Isteriku memang sudah lali dengan perangaiku. Setiap kali demam aku akan bercakap dan bertanya perkara yang sama. Di mana orang itu, di mana orang ini. Kenapa itu, kenapa tidak begini.

Sepantas kilat pertanyaanku di pintas oleh isteriku, "Abang ni benda² begitu pun nak bebankam fikiran."

"Ain sihat bolehlah cakap begitu!. Jika Ain terlantar macam abang pasti Ain fikirkan benda yang sama," jawabku dan terus matikan diri. Kesan pil paracetemol mula dirasa. Bisa² dibadan mulai reda. Aku tertidur sehingga jam 12.30 malam.

Tersedar dari tidur, terus jariku menghentak papan kibod merakamkan catatan petang itu. Aku tidak tidur sehingga ke subuh.

Selesai


Cerita 2

Bila cerita tentang ayahku, teringat aku tentang 'Ketupat Palas' atau orang sebut ketupat pulut. Puasa pun belum dah mula cerita tentang ketupat..hihihi

Ketupat palas ni sinonim dengan ayahku. Setiap menjelang raya ketupat ini pasti ada. Ayahku memang 'expert' bab menyediakan ketupat ini. Dari menganyam daun ketupat, memasukkan pulut, membalut serta merebusnya, semua dilakukan sendiri.

Petang raya, tugas menyediakan ketupat palas diberikan kepada ayah sementara arwah emak pula dengan ketupat nasinya. Tiada seorang anak² pun yang mewarisi 'skill' ayahku.

Ketupat palas berbentuk tiga segi. Ada ketupat 'jantan' dan ada ketupat 'betina'. Nasib baik tiada ketupat 'maknyah'....ya! hehehe. Tak kira apa jenis jantinanya, rasanya tetap sama cuma bentuk balutannya agak berbeza. Ketupat palas terkenal di sebelah utara.

Ketupat palas direbus menggunakan santan tidak seperti ketupat nasi direbus menggunakan air. Ketupat palas rasanya memang sedap . Sesedap lemang!



Yang membezakan ketupat jantan dan betina baca di sini.

Read more...

Biarkan Aku Bercerita...

Sunday, July 20, 2008

Aku cuba tukarkan warna² gelap 'hitam putih' blogku ke warna terang yang nampak lebih ceria. Semoga hari² mendatangku seceria dan se terang blogku ini.

Petang ini aku berpeluang mendongak memandang ke langit. Jemu rasanya asyik memandang siling dan dinding rumah.

Selepas dimandikan aku meminta diletakkan bersendirian di ruang hadapan rumah. Hanya dengan berkain kan sehelai kain pelekat dengan tuala di tubuh, aku duduk di satu sudut sambil mata menikmati udara petang.

Agak lama juga aku tak berpeluang bersantai di sudut ini. Selama ini aku hanya dapat mengintai-intai dari ruang tingkap saja. Aku memerhati bila setiap kali kenderaan melewati di hadapan rumah. Manalah tahu kot² saudara mara ke atau adik beradikku ke, datang menjengukku di petang² minggu ni.

Bila duduk bersendirian tanpa teman berbual, fikiran mula merewang-rewang melayang teringat kisah² lalu. Kisah ketika sihat dahulu. Aku mula bermain dengan perasaan. Macam² yang aku ingat dan kenangakan. Biasalah orang sepertiku, yang pernah hidup normal dan cacat kemudiannya memang sukar untuk melupakan kisah² silamnya. Tak menjadi kesalahan mengingati kisah lama.

"Din, kau datanglah jenguk emak kau ni selalu. Takan nak tunggu emak kau meninggal baru nak datang!" itulah kata² ayah menasihati abang sulungku termasuk juga aku. Abangku cuma berdiam saja begitu juga aku.

Ketika itu arwah emak terlantar sakit akibat kanser. Hampir lima tahun arwah emak menghidapi kanser payudara. Masih aku ingat lagi arwah emak sering memberitahuku yang dia rindu dan jika boleh ingin selalu berjumpa dengan anak²nya.

Di saat² akhir, kansernya merebak sehingga ke tulang dan paru². Arwah emak ketika itu tidak boleh lagi berjalan kerana terjatuh ketika cuba melangakah masuk ke kereta. Akibatnya kaki kanannya patah.

Masih aku ingat lagi pertanyaan arwah emakku, "J, boleh ke emak berjalan semula?"

"InsyaAllah! emak boleh berjalan semula!" jawabku sambil memegang-megang kakinya. Aku cuba memberi semangat padanya walaupun aku tahu peluangnya untuk berjalan amat tipis sekali. Menurut doktor kanser emak sudah di peringkat akhir.

Kini giliranku pula terlantar. Seperti arwah emak, aku juga rindu dengan abang, kakak, adik² juga saudara maraku. Kata² dan nasihat ayahku sebelas tahun dahulu menyelinap masuk ke memoriku petang ini.

Petang ini air mataku bergenang kembali. Kini masanya pula aku merasai apa yang arwah emak rasai dan alami dahulu. Penyakit yang berbeza tapi perasaan yang sama.

Nampaknya perasaanku tak seceria blogku. Aku mampu mengubah warna² blogku tapi tak mampu mengubah nostalgiaku.

Sudah dinihari. Jika kurajin akan kusambung lagi...

Read more...

Shabery...Lain Di tanya Lain Di jawab

Thursday, July 17, 2008

Masih berkisar tentang Debat.

Soalan sdr Zulkifli Sulong
: Tahun 2006 kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen dimana kerajaan dapat menjimat sejumlah RM 4.3 billion. Mengikut jawapan di Parlimen, kerajaan cuma belanja RM 834 juta sahaja untuk pasarana dan pengangkutan awam. Kenapa perkara ini berlaku?

Dari kenaikan baru ini, kerajaan dapat menjimat RM 13 billion. Jika RM 4.3 billion yang kerajaan jimatkan dahulu sukar di belanjakan untuk pasarana yang di janjikan. Apakah yang akan berlaku dengan penjimatan yang besar RM 13 billion?

Jawapan Dato Shabery Cheek: Terima kasih sdr Zul. Sebenarnya saudara tak mengikut perkembangan harga minyak (jawab sambil tersenyum dan confident) ....blaa blaa blaa.....(sila dengar jawapan beliau yang lari daripada soalan)

Di akhir sesi jawapan sdr Zulkifli cuba mengatakan Dato Shabery tidak menjawab soalan tapi di pintas oleh moderator Dato Johan Jaafar.

Ks - Tuan blog terpaksa memainkan klip video ini berulangkali untuk menyalin/menaip soalan dan jawapan yang di berikan oleh kedua belah pihak. Ternyata menteri tidak menjawab soalan yang di tanyakan.

Tentang jawapan perbelanjaan yang dibentangkan di Parlimen itu. Kemungkinan menteri tersebut tidak hadir di Parlimen. Oleh sebab itu, beliau gagal dan tidak mempunyai persediaan untuk menjawab soalan yang di tanyakan.

Jika penonton dan pembaca lain mengutuk dan menghentam menteri ini. Lain pula dengan aku. Kesian pula rasanya walaupun aku tak sependapat dengannya. Teruk beliau dihentam di blog² pro DSAI!

Kita dengarkan klip video yang berkaitan soalan di atas. Sila 'Off' kan lagu blog untuk mendengar.


Read more...

Debat...Anwar Menang 4 - 1

Tuesday, July 15, 2008


Bila wisel di bunyikan Anwar terus mengelecek bola hingga pemain lawan tidak berjaya memintas. Anwar menjaringkan gol hattrick di minit 16, minit 25 dan minit ke 45 di separuh masa pertama.

Di separuh masa kedua Anwar lebih bersemangat membuat pasukan lawan yang di ketuai oleh Shabery hilang fokus. Di minit ke 50, Shabery merembat kencang tapi bola dapat ditanduk oleh Anwar dengan senyuman.

Shabery mula bermain secara agresif dengan cuba menjatuhkan Anwar beberapa kali. Tindakan Shabery cuba menarik baju Anwar telah dilihat oleh pengadil. Sepakan percuma telah diberikan kepada pasukan Anwar. Anwar mengambil sepakan percuma dan tendangan kencangnya terkena tiang gol.

Di minit ke 90, Anwar melepasi pertahanan lawan dan berjaya menanduk bola dengan bergaya dan terus masuk ke gawang gol lawan. Shabery hanya sempat memandang 'jaringan emas' yang dilakukan oleh Anwar.

Di masa tambahan, Shabery berpura-pura jatuh di dalam kotak penalti. Pengadil yang juga rakan sekampung Shabery telah memberikan sepakan 'penalti ihsan' kepadanya. Shabery telah mengambil sepakan penalti dan menjaringkan gol pertamanya. Gol ini merupakan gol pertamanya semenjak bermain bola sejak 10 tahun yang lalu.

Permainan berkesudahan dengan kemenangan Anwar 4 berbalas 1. Permain terbaik di menangi oleh Anwar.

Komen Debat:
  • Shabery Cheek banyak membuat serangan peribadi terhadap Anwar dari membicarakan isu yang sedang di perdebatkan.
  • Shabery gagal menjawab pertanyaan yang di ajukan oleh sdr. Zulkifli Sulong. Jawapan yang tidak relevan seperti isu konsert protest dan demontrasi yang di gembar gemburkan.
  • Anwar tidak menyentuh isu peribadi kerana ini bukan platfom untuk menjatuhkan peribadi sesaorang.
  • Anwar berdebat secara ilmiah dengan mengemukan fakta dan angka² bukan dengan emosi seperti Shabery.
  • Bila berhujah, Anwar mempunyai intonasi suara tinggi rendah yang menarik dan tidak mendatar seperti suara Shabery.
  • Pun begitu pujian harus diberikan kepada Shabery kerana berani tampil berdebat dengan mantan TPM tidak seperti menteri² yang lain.
Tidak perlu ku ulas secara terperinci kerana esok pasti banyak blog yang akan memberikan respon tentang debat ini. Kita tunggu komen dari blog² yang lain esok.

Petronas untung berbillion dan sumbang kepada kerajaan sebanyak RM 62.8 billion. Baca di sini.

Sila ke link berikut untuk menonton Debat di sini.

Read more...

Biarkan Aku Bercerita!

Monday, July 14, 2008

Alat ini sekali pandang macam handphone. Dua kali pandang macam 'game player'. Ia salah satu alatan exercise jari²ku yang di panggil TENs atau alat 'Therapeutic'. Harganya lebih kurang harga sebuah handphone.

Fungsi alat ini merangsang pergerakan jari² dan otot². Ia akan memberi aliran atau seakan kejutan letrik yang merangsang jari² dan otot² untuk bergerak secara automatik. Ia banyak membantu jari²ku yang satu ketika dahulu tidak berfungsi kembali berfungsi dengan izin Allah.

Ia boleh di gunakan di bahagian belakang bahu, badan, jari dan kaki. Mempunyai beberapa fungsi seperti urutan, akupunture, ketukan dan bekam.

Sambil melayari internet sambil membuat rawatan/exercise jari tangan kananku yang kurang berfungsi. Alat ini akan merangsang ke lima² jariku agar terbuka dan tertutup (genggam) sendiri.

Setelah enam tahun, jariku hanya mampu memegang barang² yang ringan sahaja. Aku belum mampu menyuap makan sendiri dan tidak mampu untuk menulis atau mengguna handphone. Alat ini pun tidak mampu kupegang dan kendalikan. SMS yang kuhantar kepada handphone rakan² adalah dari bantuan jari anak dan isteriku...hehehe

Inilah teman setiaku 'Cik Acer Aspire 4715z'. Sentiasa di sisiku siang dan juga malam. Baru berusia tiga bulan. Jika 'berkahwin' masih dikira bulan madu lagi. Hadiah dari isteri di ulang tahun kelahiranku April lalu.

Aku belinya di Plaza Low Yatt. Ada peristiwa lucu semasa aku pergi membelinya tapi malu pula nak berkongsi cerita...hehehe.

Tapi tak mengapa kita kongsi cerita!. Petang tu aku sekeluarga ke Plaza Low Yatt semata-mata nak membeli laptop. Teruja aku tak sabar! Maklumlah nak dapat laptop baru dan aku pun dah lama tak keluar rumah.

Sebelum ke ke sana aku singgah di rumah mertuaku mengambil kerusi rodaku yang tertinggal tempohari. Setelah kerusi dimasukkan ke dalam van, kami pun bertolak ke destinasi. Van dipandu oleh anakku Syafeeni.

Setelah hampir tiba di KL aku bertanya, "Pemijak kaki kerusi roda bawa sekali tak?"

Kerusi rodaku jenis yang boleh di tanggalkan bahagian tempat meletak kakinya.

Anakku Amir mengelengkan kepalanya tanda tak pasti. Aku menyuruh anakku berhenti di tepi jalan untuk memastikan samada pemijak kaki kerusi roda ada bersama.

Setelah dipereksa anakku masuk semula dengan muka 'poyonya'. Fahamlah aku apa maksudnya. Hanya kerusi roda yang dibawa. Pemijak kakinya tertinggal.

Mulalah aku membebel-bebel dan marah². Kesemua mereka berdiam diri mendengar bebelanku. Tanpa pemijak kakinya bagaimana aku nak meletakkan kaki bila disorong?

Aku menyuruh anakku berpatah balik. Aku berkeras tak mahu ke Low Yat tanpa pemijak kakinya. Merajuklah kononya!. Bukan mudah nak keluar rumah. Bila berpeluang keluar ada saja yang tertinggal.

Setelah di pujuk² oleh isteriku akhirnya aku bersetuju untuk ke sana. Hatiku ni macam biskut juga, walaupun keras tapi bila dicicah dengan kopi panas lembut juga. Tapi bagaimana nak menolak kerusi roda tanpa pemijaknya ya? Pandai²lah anakku nanti!

Semasa melewati (bukan liwat ya!) KLCC, tiba² anakku Syafeeni membuat brek kecemasan. Apa lagi...aku yang tanpa boleh memegang apa² terhumban ke depan. Tercampak dari tempat dudukku dan terperosok ke depan. Alahai kesiannya! Macam nangka busuk jatuh....berlepok!

Apabila badanku diangkat semula ke tempat duduk, darah mengalir dari batang hidungku. Bengkok sikit hidung mancungku....hahaha. Bingkai cermin mataku menusuk batang hidungku. Nasib baik tak menusuk mataku. Jika tidak buta aku! betul² jadi Kassim Selamat. Isteriku mengelap darah yang mengalir. Bercalar dan berkesan batang hidungku.

"Sakit bang?" tanya isteriku.

"Sikit saja, tak sakitlah!" jawabku sambil muka mengerut menahan kepedihan.

"Laptop punya pasal, luka pun tak rasa sakit ya!" usik isteriku.

Aku hanya tersenyum sengih ala senyum² kambing. Di dalam hati terasa sedih juga bila melihat darah yang mengalir dari batang hidungku. Dahlah aku cacat, jatuh terjelepok pula.

Sampai di tempat letak kereta Plaza Low Yatt, aku diangkat turun ke atas kerusi roda. Untuk mengelakkan kedua tapak kakiku tergesel ke permukaan lantai semasa disorong, anakku Amir terpaksa menjongketkan tayar (wheely) kerusi rodaku.

Malu juga aku sepanjang jalan terpaksa di 'wheely' kan. Ada juga mata² yang memerhatikan gelagat anakku menolak kerusi rodaku. Aku buat 'derk' saja....janji aku dapat laptopku.....hehehe

Itulah kali akhir aku keluar dari rumah berjalan. Sekarang dah bulan Julai, sudah tiga bulan aku tak berpeluang keluar rumah. Nampak gaya kena tunggu bulan Syawal baru berpeluang keluar rumah semula.

Cepatlah Ramadhan tiba agar dapat kutemui Syawal.

***** Terima kasih buat anakku Indah yang merakamkan gambar² di atas.

Nak baca tentang batu cincin/kristal sila ke blog Towkey Emas sahabatku Naha di sini.

Sila ke Blog reformasiku di atas untuk mengikuti sidang Parlimen

Read more...

Ezam.....Biarlah Rahsia

Saturday, July 12, 2008




Sila 'Off' kan lagu "Biarkan Rahsia" nyanyian Siti jika konsentrasi anda terganggu.

Lebih kurang 8 - 9 tahun yang lalu di atas pentas parti Pas di Taman Melewar aku mendengar Ezam berucap bergegar-gegar penuh semangat. Aku ketika itu sambil mendengar ceramah sambil pekena roti 'canai banjir' dan kopi O panas di gerai bersebelahan. Orang kata sambil menyelam sambil minum air.

Lagi lantang Ezam bersuara lagi laju aku membelasah roti canai banjir berkuahkan kari ayam dan sambil tumis. Sedar tak sedar dua keping roti canai habis aku belasah dengan secawan kopi panas. Memang panas! cara Ezam bercakap pun ada iras² mentornya, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Memang berkarisma Ezam ni sebagai pemimpin.

Dalam ucapannya itu, Ezam mendakwa mempunyai enam kotak rahsia salah laku pemimpin Umno. Banyak tuu! Semua orang tercengang termasuk juga aku. Ada yang bertepuk tangan dan ada yang bertakbir. Biasalah tu....semangat!

Tunggu dok tunggu dok tunggu! Dari Ezam yang masuk penjara dah keluar penjara. Dato' Seri yang kena enam tahun penjara dah pun keluar penjara. Aku pun yang boleh berjalan dulu sampai dah tak boleh berjalan. Tapi sampai ler ni (sebut sleng utara) enam kotak rahsia yang Ezam cakap tu tak nampak bayang pun!

Ler ni Ezam pun dah masuk Umno semula. Rahsia enam kotak entah kemana. Mungkin Ezam simpan buat pekasam kot! Rahsia masih menjadi rahsia dan kotak hanya tinggal kotak......

Pagi ni sambil makan roti canai cicah gula dengan segelas teh O dengar pulak cerita yang sama, dari orang yang sama. Cerita tentang 'Rahsia' lagi. Banyak betul si Ezam ni dengan rahsia².

Cuma yang berbeza pagi ni ada dua perkara. Pertama, kali ini rahsianya bukan lagi rahsia salah laku pemimpin Umno tapi 'rahsia besar' PKR. Dan yang kedua, kali ni aku makan roti canai kena bersuap pulak, tak seperti 8 - 9 tahun dahulu.....huhuhu!

Sambil makan roti canai dengar lagu Siti Nurhaliza "Biarlah Rahsia"

Cerita tentang 'rahsia' di sini.

Read more...

Terkenang Lagi

Wednesday, July 09, 2008

Sila ke Blog reformasiku di atas untuk mengikuti sidang Parlimen

Hari ini tiba² hatiku merasa sayu, entah mengapa!. Tepat jam 1.00 tengah hari mataku terus tertumpu kepada jam di skrin laptopku. Tiga jam lagi baru tamat sesi menggerengku.

Tiba² aku terkenangkan saat² waktu 'lunch' ketika aku sihat dan berkerja dahulu. Aku terkenangkan rakan² lamaku di pejabat dahulu. Tentu mereka sedang bersiap-siap untuk keluar makan. Dahulu di waktu ini berbondong-bondong staf² menunggu di pintu lif untuk turun makan. Termasuk juga aku.

Pada kebiasaannya aku akan membiarkan staf² yang lain turun menggunakan lif dahulu. Aku kurang gemar berasak-asak masuk ke dalam lif. Biasanya aku akan mengunakan lif yang terakhir setelah staf² kesemuanya habis turun.

Aku turun dan terus ke ruang lobi. Di sini aku akan menunggu dua orang sahabat baikku, Aziz dan Rezan. Dengan mereka berdualah aku sering keluar makan tengah hari. Kami makan di kafeteria atau di gerai yang berdekatan dengan pejabat.

Dan adakalanya aku memandu sindirian makan di gerai di Komplek Kerajaan di Jalan Duta. Memandu ke sana mengambil masa kurang dari 10 minit. Bila teringin makan 'ayam goreng' panas pasti aku akan ke sini.

Hari ini lebih kurang jam 1.15 tengah hari isteriku datang menghampiri katilku dengan sepinggan nasi dan segelas minuman. Pada kebiasaannya waktu 'lunch' aku jam 4.00 petang iaitu selepas tamatnya waktu menggerengku tetapi hari ini awal pula.

Sambil menggereng isteriku menyuapkan nasi ke mulutku. Agak mengah juga makan dan mengunyah nasi di dalam posisi mengereng. Sayu juga hati apabila mengenangkan keadaanku yang menghadapi rezeki di dalam posisi begini.

"Ain! waktu² begini abang terkenangkan kawan² abang!"

"Mereka tentu sedang suka² sambil makan tengah hari ni," kataku sambil mengunyah nasi yang masuk ke mulutku.

"Sedih sangat hati abang bila teringatkan waktu² bersama mereka dahulu."

Isteriku tak berkata apa². Dia terus menyuapkan nasi ke mulutku. Sesekali dia mengutip sisa² nasi yang terjatuh di atas badanku. Hari ini sudah empat hari dia berpuasa sunat Rejab. Walaupun berpuasa tetapi kewajipan menjaga makan minumku tetap di tunaikan.

Buat isteriku, maafkan aku kerana terpaksa makan di hadapanmu. Dan maafkan aku kerana telah membebankan hidupmu dengan sisa² hidupku.

Sila ke Blog reformasiku di atas untuk mengikuti sidang Parlimen

Read more...

Sedihnya

Monday, July 07, 2008


Sedih pula baca cerita di bawah ni...

Dengan genangan air mata beliau terus mendukung anak bongsunya, Arfah Sharial, 9 yang kebetulan turut menyambutnya di situ untuk memasuki dalam rumah menatap janazah anaknya.

Beliau duduk di sisi isterinya, Siti Fatma Masirun, 38, dan terus menatap wajah anaknya yang terbaring kaku di situ.

Beliau mengucup dahi anaknya itu sepuas-puasnya seolah-olah enggan menerima perpisahan akibat 7 tahun keluarga ini dipisahkan oleh tempoh kem tahanan secara zalim.

Cerita dan gambarnya di sini.

Read more...

Luka Lama Berdarah Kembali 1

Thursday, July 03, 2008

Justice For Anwar





Kata² keramat DSAI "Kita lawan, tidak minggu ini minggu depan, tidak bulan ini bulan depan, tidak tahun ini tahun depan" Lawan Tetap Lawan!"

"Jika takut dengan risiko, usah bicara soal perjuangan" DSAI.

Saksikan video ini sehingga tamat. Tidak rugi menontonya, tiada di tayangkan di pawagam.....hehehe.

"Selamat Menyambut Bulan Rejab dan Selamat Berpuasa Sunat"

Read more...

~ Laungan Reformasi..Menggamitku ~

Wednesday, July 02, 2008

Siaran/entri ulangan sempena episod sandiwara terbaru.

Dua tiga hari yang lalu dalam permusafiranku, aku bertemu klip video ‘Laungan Reformasi’ (klip video di atas) detik-detik penangkapan Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan era kebangkitan Reformasi. Koleksi VCD nya pernahku simpan satu ketika dahulu tetapi kini hilang entah kemana.

Tiba-tiba semangat reformasiku meresap kembali ke jiwaku bila melihat video itu. Rindu pada rakan-rakan reformasi terubat jua. Banyak detik-detik menarik yang pernahku ceritakan sebelum ini di rakam di dalam video selama 57 minit itu.

Detik bersalaman dengan DSAI di rumahnya beberapa hari sebelum ditangkap menjadi memori indah buatku. Aku terpegun petang itu bila DSAI keluar bersalaman dengan para penyokongnya. Aku bukan hanya terpegun dengan ketampannya tetapi terpegun dengan karismanya sebagai pejuang.

Adegan kejar mengejar di dalam Masjid Negara yang pernah aku ceritakan sebelum ini ada di tunjukkan di dalam video ini. Peristiwa demontrasi di depan KLCC yang mana aku hampir tertangkap pun turut di muatkan.

Kejadian di mana anggota polis yang menyamar sebagai jurugambar menggamit kenanganku. Malam itu kami beramai-ramai berdemontrasi di hadapan Masjid Kg. Baru selepas sholat Isyak. Memang menjadi kebiasaan para jurugambar akhbar mahu pun tempatan dan CNN akan merakamkan gambar-gambar pendemontrasi untuk di muatkan dalam berita mereka.

Dalam ratusan jurugambar itu terdapat juga anggota-anggota polis yang turut sama merakamkan gambar pendemontrasi. Entah bagaimana kehadiran mereka di sedari oleh beberapa orang pendemontrasi dan mereka cuba merampas alat kamera dari polis tersebut. Dalam adegan tolak menolak itu anggota polis tersebut terpaksa menggeluarkan pistolnya untuk mempertahankan diri.

Apa yang membuat aku tersenyum, pendemotrasi bukan takut malah menyelubungkan mereka dengan kain banner. Ketika itu aku berada beberapa meter sahaja dengan mereka dan dapat saksikan apa yang berlaku.

Dalam video ini terdapat beberapa slogan yang diucapkan oleh DSAI yang sering aku dan teman-temanku laungkan. Antaranya ialah....

“Kita lawan, tidak minggu ini minggu depan, tidak bulan ini bulan depan, tidak tahun ini tahun depan, Lawan Tetap Lawan.”

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP